Dec 8, 2012

Najwa Latif Elak Dari Aibkan Keluarga Walaupun Periuk Nasi Terjejas

PENYANYI Najwa Latif agak jarang dikaitkan dengan sebarang kisah kontroversi. Biarpun begitu, penyanyi kelahiran Batu Pahat, Johor berusia 17 tahun itu terpaksa akur apabila dia turut tidak dapat mengelakkan diri daripada dilanda isu sensasi sehingga dirinya diperkatakan ramai.
Baru-baru ini, sebuah akhbar telah melaporkan tentang luahan bapanya, Abdul Latif Ismail yang mendakwa Najwa telah meminggirkan dirinya sebagai seorang bapa.
Bapa Najwa juga mendedahkan anaknya itu kini sudah lalai dalam pelajaran sejak bergelar penyanyi.
Dalam kenyataan tersebut juga seolah-olah menggambarkan penyanyi muda berbakat besar itu sebagai seorang anak derhaka dan sudah mula lupa diri setelah mencipta nama dalam bidang nyanyian.
Sehubungan itu, wartawan menghubungi penyanyi yang popular menerusi lagu Muka Cinta Buku itu semalam bagi mendapatkan kepastian tentang isu tersebut.
Najwa baru hendak membuat kemunculan semula setelah lama cuti menyanyi. Adakah Najwa kecewa apabila terdapat cerita kurang baik tentang anda yang telah dipaparkan dalam media?
NAJWA: Sama ada saya kecewa atau tidak, saya terpaksa berhadapan dengan segala apa yang berlaku. Bagaimanapun, apa yang lebih penting saya perlu terus menjadi seorang yang kuat dan bersemangat untuk menghadapi semua itu.
Dalam perkara ini, saya cuma menganggap setiap perkara yang telah terjadi ini pasti ada hikmah di sebaliknya. Jadi, lebih baik sekiranya saya kembali fokus kepada kerjaya sahaja tanpa memikirkan perkara peribadi.
Najwa sudah bersedia untuk menceritakan hal yang sebenar?
Saya minta maaf kerana tidak akan memberi sebarang komen buat masa sekarang kerana isu yang timbul ini melibatkan keluarga. Kalau saya buka mulut dan bercerita, sudah tentu saya akan mengaibkan keluarga dan itulah perkara yang saya mahu elakkan sekarang.
Dengan cerita yang didedahkan itu, adakah Najwa fikir ia akan menjejaskan kerjaya dan periuk nasi anda sebagai penyanyi?
Sebenarnya saya lebih percaya bahawa setiap rezeki yang diperoleh itu semuanya telah ditentukan oleh Allah. Sekiranya terdapat sebarang tawaran membuat persembahan ditarik balik, saya anggap itu bukan rezeki dan terima dengan hati terbuka.
Apakah reaksi peminat terhadap cerita berkenaan?
Saya berasa sangat lega dan gembira kerana para peminat masih tetap menyokong saya, malah ada antara mereka yang turut memberi pandangan supaya saya tidak memberikan sebarang komen terhadap isu tersebut.
Bagaimana perasaan Najwa setelah tamat menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?
Pastinya saya sangat teruja kerana banyak perkara yang boleh saya lakukan sekarang tanpa halangan, terutamanya kembali menyambung karier nyanyian saya. Selain itu, saya kini sedang dalam proses untuk mendapatkan lesen kereta.
Apabila Najwa menyambung pelajaran nanti, apakah jurusan yang ingin diambil?
Dengan kerjaya saya sekarang ini pasti ramai yang ingat saya akan mengambil jurusan seni, tetapi sebenarnya saya telah merancang untuk belajar dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).www.xlupa.com
Salah satu faktor utama yang menyebabkan saya ingin mengambil jurusan tersebut kerana saya memang meminati bahasa Inggeris. Bagi saya, lebih baik saya ambil jurusan yang saya memang minat agar lebih mudah memahami setiap yang diajar.
Apakah perkembangan terbaharu Najwa sekarang?
Pada 15 Disember ini saya akan membuat persembahan pada majlis Anugerah Planet Muzik, Singapura. Seminggu kemudian saya kembali semula ke Singapura untuk menjayakan showcase Najwa Latif Live In Singapore yang akan berlangsung The Joyden Hall @ Bugis pada 21 Disember ini.
Selain itu saya juga akan mempromosikan single terbaharu berjudul Sahabat. Kemudian, saya akan menyambung semula siri jelajah ke seluruh Malaysia yang sudah bermula awal tahun ini seperti di Perak, Pahang, Melaka dan Johor. Untuk lokasi yang seterusnya masih lagi dalam peringkat perbincangan.